Home Politik Pemuda PH anjur demo depan SPR 23 Mei ini

Pemuda PH anjur demo depan SPR 23 Mei ini

Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Ithnin

PUTRAJAYA – Pemuda Pakatan Harapan merancang untuk mengadakan satu perhimpunan di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jam 11.30 pagi, 23 Mei ini.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, ia bagi membantah tindakan SPR berhubung isu larangan pemberian Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik.

“Beberapa minggu lepas, Pemuda Amanah telah minta SPR mengesahkan sama ada surat larangan itu sahih ataupun tidak. Bagaimanapun surat rasmi yang tular itu merupakan satu larangan sahih.

“Kami (Pemuda Pakatan Harapan) telah bersetuju untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran di ibu pejabat SPR. Ini kerana tempoh yang kita beri untuk SPR tarik balik surat larangan tersebut telah tamat,” katanya pada sidang media di luar pekarangan ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 29 April lalu yang mengesahkan badan itu telah mengeluarkan arahan kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri untuk pemberhentian pengedaran cakera padat RDPT Suku Tahun kepada parti-parti politik dalam satu pameran.

Abdul Ghani berkata, larangan itu terpakai bukan sahaja kepada parti politik bahkan semua pihak lain yang berkepentingan.

Mengulas lanjut, Shazni Munir juga mendakwa, UMNO dan Barisan Nasional merupakan satu-satunya parti politk yang tidak terkesan dengan larangan berkenaan.

“Malangnya satu-satunya parti politik yang tidak terasa dengan diskriminasi tersebut ialah UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya.

Shazni Munir berkata, SPR digesa mengembalikan hak untuk melihat senarai pemilih kepada parti politik yang bakal bertanding dalam PRU14 akan datang.

“Pemuda Pakatan Harapan mendesak supaya hak untuk melihat senarai pemilih sebagai sebuah parti yang akan bertanding dalam PRU14 akan datang itu dikembalikan semula kepada semua parti politik,” katanya. – Malaysiagazette