KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) perlu membantu menangani persepsi negatif masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun PDRM telah melaksanakan yang terbaik, namun persepsi masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu masih tidak berubah.
“Oleh itu, peranan Respa adalah penting untuk membantu kepimpinan PDRM bagi mewujudkan kesedaran positif terhadap PDRM,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Kenangan Respa 2017 di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Presiden Respa Tan Sri Mohd Ismail Che Rus.
Ahmad Zahid berkata sebagai pemimpin pendapat dan penapis maklumat serta mempunyai banyak pengalaman, anggota Respa juga disaran berkongsi idea dalam membantu hala tuju dasar keselamatan negara.
— BERNAMA