KUALA LUMPUR – Seramai 2,640 pelajar dari Universiti Malaya (UM) dan UniKL dari seluruh negara akan terlibat dalam Program Keusahawanan Belia Pengajian Tinggi Balik Kampung (U2Desa).
Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelajar yang juga usahawan itu akan diberi modal permulaan sebanyak RM10,000 untuk mengusahakan perniagaan di kampung masing-masing menerusi U2Desa.
Katanya, sebanyak 400 kampung di seluruh negara dikenalpasti akan dimanfaatkan oleh pelajar U2Desa dalam pelbagai bidang perniagaan.
“Ini antara usaha kementerian saya untuk pelajar IPT yang asalnya dari luar bandar datang ke bandar untuk mencari kerja, pulang ke kampung sendiri untuk mengusahakan perniagaan.
“Mereka akan dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang bertindak memantau aktiviti keusahawanan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Usahawan Belia Pengajian Tinggi Balik Kampung (U2Desa) di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini petang tadi.
Menurut Ismail Sabri, melalui program itu diharapkan lebih banyak memberi peluang pekerjaan dapat direbut oleh anak-anak muda luar bandar dan desa.
Mengulas lanjut mengenai U2Desa, beliau berkata, sasaran kerajaan melalui kementeriannya ialah untuk mengurangkan penghijrahan belia luar bandar ke bandar.
“Mentaliti mereka ialah peluang pekerjaan ada di bandar, sebenarnya mereka silap. Pekerjaan juga ada di kampung mereka.
“Kita bawa masuk program U2Desa ini ke kampung-kampung untuk direbut dan menghalang mereka daripada berhijrah ke bandar,” katanya. – MalaysiaGazette