KUALA LUMPUR – AirAsia Berhad dan Kerajaan Terengganu menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bagi kerjasama mempromosikan pelancongan tempatan di
negeri itu.
Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar berkata, syarikat penerbangan itu gembira untuk berkerjasama dengan Terengganu sempena kempen ‘Visit Beautiful Terengganu 2017’.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu dalam mempamerkan keunikan dan keindahan destinasi pelancongan di Negeri Terengganu melalui rangkaian luas AirAsia.
“Melalui produk Fly-Thru AirAsia, pelancong dari Asia dapat menyambung penerbangan dengan lancar ke Terengganu melalui hab utama di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, mulai 22 Jun ini, para pelancong akan dapat terbang terus dari Johor Bahru ke Terengganu dengan pengenalan laluan baharu ini.
Majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di antara Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu, dan Aziz mewakilia AirAsia.
Ahmad Razif berkata, Terengganu kini sedia untuk dikenali sebagai negeri pelancongan yang cekap melalui laluan udara dan darat, infrastruktur moden, khanazah alam semula jadi, budaya dan warisan.
Perkenalan laluan terus baharu dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu pasti akan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Terengganu, kata beliau.
Selain pantai dan pulau, Terengganu juga dikenali dengan tarikan makanan tradisional, tapak bersejarah dan tarikan seni dan budaya.
“Dengan kolaborasi ini, kami yakin akan menyumbang merealisasikan hasrat kerajaan negeri mencapai sejumlah 5.5 juta pelancong tahun ini,” ujarnya.
AirAsia menawarkan penerbangan dengan kekerapan 28 kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan akan datang, penerbangan dari Kuala Terengganu ke Johor Bahru dengan kekerapan 3 kali penerbangan seminggu.
Pada tahun 2016, AirAsia telah menerbangkan lebih daripada 420,000 pelancong ke Terengganu, yang mana majoriti pelancong tersebut berasal dari Malaysia, China dan Indonesia. – MalaysiaGazette