KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam tindakan MCA yang mengadakan kerjasama teknikal dengan Parti Komunis China (PKC).
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali bimbang kerjasama itu akan merosakkan minda rakyat pelbagai kaum di negara ini dengan aspek pendidikan yang berideologi komunisme.
Katanya, Perkasa terkejut dengan langkah terbaharu MCA itu dan meminta Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) menasihatkan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai membatalkan kerjasama itu.
“Sememangnya kita terkejut dengan tindakan MCA ini, sebab ianya sangat luar biasa.
“Kita sedia maklum kerajaan Malaysia ada kerjasama dengan kerajaan China tapi kerjasama itu tidak ada kena mengena dengan urusan berkaitan ideologi komunisme,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media pada Sabtu lalu berhubung kerjasama dengan PKC dalam bidang pendidikan, budaya, kepakaran, strategik dan pembangunan kampung.
Menurut Ibrahim, bentuk kerjasama itu sendiri meletakkan negara ini dalam keadaan bahaya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan MCA itu seolah-olah parti berkenaan tidak lagi mendapat sokongan masyarakat Cina di negara ini sehingga cuba menerapkan ideologi komunisme.
Kata Ibrahim, walaupun majoriti umat Islam di negara ini Ahlil Sunnah Wal Jamaah, mereka tidak pernah mengimport ajaran Syiah dari negara Islam lain.
“Bahkan dalam khutbah Jumaat pun kita menolak ajaran Syiah dan kekalkan dengan ajaran Ahlil Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Katanya, beliau akan menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Malaysia dan salinan kepada Perdana Menteri minggu depan bagi menyatakan kebimbangan Perkasa dan seluruh rakyat.
“Kita juga hendak tanya apakah pendirian kerajaan dengan tindakan MCA ini,” ujar beliau. – Malaysia Gazette