Home Nasional Ransomware WannaCry: Hanya dua kes dilaporkan

Ransomware WannaCry: Hanya dua kes dilaporkan

Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab bercakap pada sidang media berhubung serangan perisian jahat yang dikenali sebagai 'Ransomware WannaCry' di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017

PUTRAJAYA – Sejak dua hari lalu, Cyber Security Malaysia Malaysia hanya menerima dua laporan sahaja berhubung serangan perisian jahat atau Ransomware WannaCry di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Cyber Security Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, dua laporan itu melibatkan sebuah institusi pendidikan dan organisasi swasta.

“Semalam kita ada terima satu (laporan) daripada institusi pendidikan dan hari ini kita terima laporan sama daripada organisasi swasta.

“Dua laporan ini yang berkaitan dengan WannaCry Ransomware,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di sini, hari ini.

Sejak Jumaat lalu, beberapa bank, hospital dan agensi kerajaan di seluruh dunia menerima ancaman penggodam yang mengeksploitasi kelemahan dalam versi lama sistem operasi Windows.

Dalam situasi ancaman itu, penggodam akan menuntut wang tebusan di antara AS$300 hingga AS$600 dalam matawang maya Bitcoin.

Mengulas lanjut, Amirudin juga berkata, sejak 1997, pihaknya telah menangani hampir 90,000 kes serangan siber dan identiti pihak yang melaporkan kejadian itu pula dilindungi.

“Kita sentiasa beri bantuan malah apa-apa nasihat kita akan bantu. Laporan ini adalah percuma, saya tak caj pun.

“Saya minta semua pihak jika mengalami apa jua insiden siber, datanglah kepada kami kerana laporan anda membolehkan kami untuk bantu pihak lain,” jelasnya.

Beliau berkata, sehingga kini, Ransomware WannaCry hanya menyerang komputer yang menggunakan sistem operasi Windows sahaja.

“Produk yang dijangkiti ancaman ini adalah yang menggunakan sistem operasi Windows,” ujarnya.

Sementara itu, Amirudin turut menafikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengenai larangan menggunakan perbankan Internet dan transaksi e-bayaran.

“Saya pun menjadi salah seorang mangsa kepada berita palsu. Ada satu laporan memetik kenyataan saya yang menyatakan mesej palsu, jangan guna perbankan online, jangan guna transaksi epayment

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu. Mesej ini menjadi tular kepada semua peringkat, malah semua kawan saya dan ahli keluarga saya bertanyakan kebenaran mesej tersebut,” tegasnya.

Tambahnya, serangan Ransomware bukan perkara baharu dalam ancaman siber di negara ini melainkan WannaCry.

“Ransomware dah lama dan sebelum ini pihak kami menerima pelbagai laporan kepada Cyber999 mengenai Ransomware tapi nama varian dia lain, contohnya Cryptolocker.

“Dua hari lepas kita terima satu laporan yang juga Ransomware tapi varian lain yang dinamakan darma,” katanya lagi.