Home Utama Rasuah: Sembilan termasuk dua Ketua Polis Daerah direman enam hari

Rasuah: Sembilan termasuk dua Ketua Polis Daerah direman enam hari

Dua anggota polis dari Melaka ketika dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah reman berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Dua Ketua Polis Daerah berusia lingkungan 46 hingga 54 tahun dan seorang Inspektor, 46, direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung aktiviti mengutip wang daripada beberapa pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Mahkamah Majistret hari ini ini mengeluarkan perintah reman berkenaan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes berkenaan.

Majistret Muhamad Safuan Azhar memerintahkan mereka direman bermula hari ini hingga 22 Mei bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Dua Ketua Polis Daerah berkenaan dipercayai bertugas di Melaka Tengah dan Jasin.

Terdahulu, mahkamah sama turut mengeluarkan perintah berkenaan terhadap enam lagi individu yang turut disiasat bagi kes yang sama.

Mereka terdiri daripada seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan dua daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dan Melaka Tengah dan tiga orang awam.

Kesemua mereka ditahan di sekitar Melaka semalam.

Tiga pegawai polis terbabit turut direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Mereka direman bermula hari ini hingga 22 Mei ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan mengesahkan tangkapan berkenaan.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. -MalaysiaGazette.