KUALA LUMPUR – Tindakan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memburukkan industri pelancongan Malaysia ketika berada di Oman dipercayai dilakukan kerana habuan tertentu.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata, tindakan Tun M bertentangan dengan sikapnya ketika memegang jawatan perdana menteri yang giat mempromosikan Malaysia kepada negara luar.
“Tun M sudah pasti menerima sesuatu sampai sanggup hina Malaysia ketika berada di Oman. Masa jadi Perdana Menteri dulu, beliau antara yang memulakan kempen Tahun Melawat Malaysia, tapi kali ini tanpa rasa malu, menghina destinasi pelancongan yang cantik di Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tun M yang memburukkan negara semasa berucap di The Third Duqm Society and Economy Forum di Oman pada 9 Mei 2017 lalu.
Antara lain, Tun M mendakwa Malaysia bukan satu destinasi pelacongan menarik berbanding Oman mempunyai kawasan pertanian luas dan pantai cantik.
Ramesh juga berkata, segala aktiviti dan kerja yang dilakukan Tun M ketika berada di Oman bakal terbongkar pihaknya tidak lama lagi susulan kenyataan menghina Malaysia itu.
“Ia akan terdedah nanti, siapa yang akan dedahkan itu kita tunggu dan lihat kerana semuanya akan pasti terbongkar,” katanya.
Beliau turut mendakwa Tun M dipercayai terlibat dalam urusan pembelian minyak dari Iran yang kemudian dihantar ke Oman sebelum dibawa ke Malaysia dengan harga yang tinggi.
“Petron (syarikat minyak milik anak Tun M) dapat bekalan minyak dari Iran melalui Oman, patutlah Mahathir mendewa-dewakan dan memuji Oman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette