Home Utama Ubah Kit Siang sebelum ubah negara – Tunku Aziz

Ubah Kit Siang sebelum ubah negara – Tunku Aziz

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai Lim Kit Siang yang membisu terhadap dakwaan stail 'diktator' kepimpinan beliau dalam DAP di Hotel Eastin, Selangor. foto IQBAL BASRI, 17 MEI 2017

PETALING JAYA – Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz hari ini sekali lagi menggesa supaya DAP mengubah terlebih dahulu kempimpinan Lim Kit Siang sebelum mengajak rakyat untuk mengubah kepimpinan negara.

Dalam satu sidang media hari ini, Tunku Aziz mengulangi gesaan tersebut kerana kepimpinan Kit Siang yang disifatkannya sebagai pemimpin diktator.

“DAP parti yang tidak demokratik. Jika DAP mahu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengubah kepimpinan negara, mereka patut tunjuk dahulu mereka amal demokrasi.

“Oleh kerana mereka kata mereka mengamalkan prinsip demokrasi, jadi mereka perlu menjelaskan dulu kepada umum pendirian mereka terhadap perlembagaan negara.

“Mereka asyik melaungkan ‘ubah’ sebagai cogan kata mereka dengan harapan seluruh rakyat akan mengubah negara, tapi sebelum DAP harap rakyat akan ubah, DAP perlu ubah dahulu. Tapi ini perkara yang takkan berlaku.

“Jemputan saya pun untuk berdebat pun tidak dilayan, saya bukan mahu buat cabaran, saya hanya mahu beri dia ruang yang besar untuk bercakap kepada rakyat negara,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemimpin tinggi DAP itu juga tetap bertegas memang benar ada perjanjian sulit antara Kit Siang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan jawatan tinggi negara sekiranya blok pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Saya fikir Mahathir isytihar bahawa Kit Siang tak pernah minta jawatan perdana menteri tetapi DAP ada minta kepadanya jawatan timbalan perdana menteri. Jadi, apa yang saya percaya, adanya perjanjian sulit antara Kit Siang dengan Mahathir.”

Bagaimanapun, ketika ditanya berkenaan bukti perjanjian tersebut, Tunku Aziz tetap enggan mendedahkan individu yang menjadi sumber kepada maklumat tersebut.

Beliau seterusnya ‘menjemput’ Kit Siang sekali lagi untuk mengadakan debat terbuka dengannya.

Terdahulu, pada bulan April lepas, Tunku Aziz ‘mencabar’ penasihat DAP itu untuk mengadakan debat secara terbuka namun, tidak mendapat maklum balas daripada Lim Kit Siang.-MalaysiaGazette