Home Nasional Denda RM10,000 jika merokok di jejantas, laluan dan terowong pejalan kaki

Denda RM10,000 jika merokok di jejantas, laluan dan terowong pejalan kaki

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz (kanan) melihat tanda larangan merokok yang ditampal di sebuah jejambat berhampiran Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 Mei 2017.

KUALA LUMPUR – Jika pada 1 Februari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewartakan larangan merokok di taman awam, mulai 15 April lalu pula semua laluan pejalan kaki berbumbung, jejantas berbumbung dan terowong pejalan kaki bawah tanah di ibu negara diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Larangan tersebut dilaksanakan di bawah peraturan 22 Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Namun sekiranya orang ramai masih berdegil, mereka berhadapan dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Amaran itu disuarakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz ketika merasmikan langkah terbaru itu di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Putra, ibu negara.

Dalam memastikan keberkesanan larangan tersebut, aduan boleh dibuat di talian bebas tol 1800-88-3255 atau 03-22687333 jika orang ramai melihat masih ada perokok yang ingkar.

Kini terdapat 141 laluan pejalan kaki berbumbung di Kuala Lumpur dan bilangan ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

Dalam ucapan perasmian, Mhd Amin menjelaskan program itu sangat bermakna melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Sunway Putra Mall, Putrade Property Management, The Plaza Hotel Kuala Lumpur, Prasana Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia dan Persatuan Kesihatan Persekitaran Malaysia (MAEH).

“Langkah ini merupakan satu titik permulaan, Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok dan menjelang 2045 menyasarkan kurang lima peratus yang merokok atau tiada yang merokok di Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian.

Mhd Amin turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti untuk menjayakan KL Bebas Asap Rokok. – MalaysiaGazette