Home Seni Hidup Maafkan Mat Over agar senang ke akhirat – David Teo

Maafkan Mat Over agar senang ke akhirat – David Teo

Pelakon Mat Over dan pengarah terkenal David Teo berdamai selepas tercetusnya kekecohan pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50 ) bersama Segmen Penggiat Seni (Budayawan) di Seri Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Penerbit filem, David Teo memaafkan pelakon, Mat Over yang melempangnya semalam di hadapan Perdana Menteri pada majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana sini.

David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG) berkata, beliau menganggap insiden itu sudah selesai dan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap Mat Over atau nama sebenarnya, Sulaiman Yasin.

“Saya sebenarnya tidak kenal Mat Over dan tidak tahu perangai dia macam mana. Kami tidak rapat dan macam mana ada masalah dengannya.

“Saya sudah maafkan dia agar senang ke akhirat dan anggap dia tidak sengaja hendak pukul saya,” katanya ketika ditemui pihak media selepas majlis dialog itu selesai.

Turut hadir isteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas lanjut insiden itu, David menambah, lempangan Mat Over itu mengenai dahinya hingga menyebabkan cermin matanya terjatuh.

“Saya jatuh atas Ketua Pengarah Finas sehingga beliau pun terkejut.

“Ini bukan gimik saya dan Rosyam. Saya memang tidak dirancang oleh Rosyam untuk bertanya soalan.

“Dia langsung tak pandang saya dan cari perempuan Cina yang muda bukan produser yang tua.

“Mungkin dia terperanjat dengan tindakan saya tapi saya mahu dia beri peluang kepada orang lain bertanya hingga ramai peserta di belakang saya pun menjerit.

“Saya mahu tanya kenapa asyik bagi peluang bahagian depan sahaja. Tiba-tiba Mat Over datang dan terus tumbuk.

“Setakat ini dahi saya ok tapi tidak tahu balik rumah nanti sakit atau tidak,” katanya.

Ditanya soalan atau apa idea yang ingin dilontar kepada Perdana Menteri jika tidak berlaku insiden itu, David berkata, dia hanya mahu memberi cadangan agar polisi Lembaga Penapisan Filem diperkukuhkan.

Namun sebelum dialog berakhir, Mat Over dan David Teo dipanggil semula oleh moderator iaitu pelakon, Datuk Rosyam Noor untuk berdamai dan mereka bersalaman dan berpelukan di depan Najib. – MalaysiaGazette