KUALA LUMPUR – Gambar-gambar lokasi dan tempat menarik dalam negara yang dikongsi oleh para penggiat media sosial dapat membantu menaikkan populariti serta meningkatkan industri pelancongan tempatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata, penggiat media sosial boleh mengetengahkan lokasi dan pemandangan menarik tempat-tempat yang jarang dikunjungi di negara ini, seperti di Pantai Tusan di Miri, Pantai Bachok di Kelantan dan banyak lagi melalui fotografi dan laman Instagram.
“Memang banyak lokasi dan tempat menarik dalam negara kita yang masih belum diterokai sepenuhnya, dan melalui foto-foto daripada para penggiat media sosial ini, dapat membantu menaikkan populariti serta meningkatkan pendapatan industri pelancongan tempatan.
“Ramai yang komen di foto-foto tersebut mengatakan bahawa mereka menyangkakan foto ini diambil di tempat eksotik luar negara seperti New Zealand atau Korea Selatan, dan terkejut (apabila) mengetahui bahawa ia sebenarnya di Malaysia,” kata Najib dalam catatan terbaru di laman blognya, “http://www.najibrazak.com hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuannya bersama jurugambar dan penggiat media sosial atau Instafamous dalam sesi sembang santai di Cartel Coffee Shop, Bangi, semalam.
Mereka terdiri daripada Nasrul Faiz (@Faizdickie), Kamarulzaman Ali (@z.own), Hishammudin Hashim (@tkdnxv), Shafiq Saleh (@shafiqanaksaleh), Adly Aizad (@adlyaizad), dan Taufiq Nadri (@taufiqnadzri) yang kesemuanya anak muda mempunyai pengaruh besar di laman sosial terutamanya di laman Instagram.
Selain gambar lokasi dan pemandangan menarik di sekitar negara, Najib turut kagum akan hasil fotografi menarik dan cantik yang mencerminkan semangat #Negaraku dari sudut pandangan mereka melalui gambar seperti anak Orang Asli, pemandangan ibu kota di waktu malam, dan pameran LIMA (Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi).
“Mereka berkongsi dengan saya pengalaman, cabaran dan aspirasi sebagai penggiat media sosial, dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada #Negaraku melalui medium dan cara mereka sendiri. Kalau digabungkan antara kesemua mereka, pengaruh atau capaian mereka hampir 900,000 orang,” katanya.
Katanya mereka turut berkongsi gajet dan peralatan digunakan untuk berkarya seperti kamera jenama Fujifilm, Canon, Nikon dan lain-lain lagi.
Apa yang lebih menakjubkan, kata Najib, teknologi kamera telefon bimbit atau ‘mobile photography’ telah berkembang begitu pesat, sehingga dikatakan boleh menyaingi, atau lebih hebat lagi daripada kamera DSLR seperti Huawei yang menggunakan teknologi Leica (jenama kamera).
“Tidak mustahil pada masa depan, ‘mobile phone’ boleh menggantikan kamera DSLR sebagai gajet pilihan utama jurugambar profesional. Ini satu lagi bukti bahawa teknologi adalah sesuatu yang berkembang begitu pantas, dan sekiranya kita alpa, kita akan jauh ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan sumber manusia kini perlu memikirkan bagaimana untuk menyediakan modal insan bagi pekerjaan yang masih belum wujudi, tetapi bakal menjadi pekerjaan penting pada masa depan.
Najib menyifatkan anak muda yang ditemui sebagai perintis yang akan membuka jalan kepada lebih ramai lagi anak muda lain yang berminat dengan dunia kreatif seperti fotografi dan videografi untuk memanfaatkan teknologi dan menyerlahkan kreativiti.
Hal lain yang turut dikongsi mereka adalah cabaran yang dihadapi, terutamanya daripada segi mentaliti dan penerimaan industri terhadap penggiat media sosial.
”Masih terdapat stigma bahawa mereka ini berada di tahap rendah berbanding media arus perdana, atau second grade version of media,” katanya dan menegaskan bahawa hal itu tidak benar sama sekali, sebaliknya mereka lebih berpengaruh berbanding media arus perdana.
Najib berkata, banyak agensi dan pengamal media kini masih berada di takuk lama, tidak menyedari kepentingan media digital sebagai medium paling berkesan untuk capaian selain mengembangkan pengaruh di era teknologi yang berkembang pesat kini. – MalaysiaGazette