KUALA LUMPUR – Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa suka `memutar belit’ kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dilihat terikut-ikut dengan gaya politik Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menasihati Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu tidak perlu mengikut lenggok Mahathir yang sudah sampai ke penghujungnya.
“Gaya politik seperti itu sudah ketinggalan zaman, politik membantai dan menyondol bagaikan penasaran hanya boleh menikam diri sendiri.
“Sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, sekalipun diapit oleh pemimpin-pemimpin PAN (Amanah) dan DAP, adalah tidak wajar Muhyidin melontarkan komen demikian.
“Apakah salahnya jika Muhyidin berkata, ‘saya perlu membuat pengesahan terlebih dahulu adakah benar kenyataan tersebut daripada Mursyidul Am atau sebaliknya sebelum membuat ulasan..’? Tidakkah ia kelihatan lebih berseni dan bertoma’ninah?,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor sebuah laman portal hari ini.
Ahmad Fadhli merujuk satu kenyataan Muhyiddin yang memberi respon terhadap kenyataan Hashim kononnya Pas mungkin akan mencapai kata sepakat dengan UMNO untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Ahmad Fadhli juga berkata, Hashim tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut bahkan hanya mengulangi semangat yang telah ditegaskan oleh Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu jika ‘UMNO terima Islam, Pas boleh bubar’.
“Apa yang disebut oleh beliau ialah Pas boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menerima Islam sebagai agenda perjuangan Pas.
“Tidak pernah wujud dalam perbincangan Pas untuk memberikan laluan kepada UMNO di kerusi-kerusi tertentu dan menuntut balasan yang sama daripada UMNO,” katanya lagi.
Justeru, jika Muhyiddin menggunakan analogi ‘undi Pas ialah undi UMNO’ kerana mendakwa Pas dan UMNO berpakat maka analogi yang sama juga boleh digunakai untuk PPBM dengan DAP. – MalaysiaGazette