Home Politik Tiga Exco Pas bertugas seperti biasa hingga mesyuarat PKR

Tiga Exco Pas bertugas seperti biasa hingga mesyuarat PKR

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakya (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan bersama Wanita PKR & AMK PKR di Dewan Sivik, MBPJ. foto SAFWAN MANSOR, 19 MAC 2017.

PETALING JAYA – Tiga Exco Pas masih bertugas seperti biasa dan nasib mereka hanya akan ditentukan dalam satu mesyuarat Biro Politik PKR sekembalinya presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke tanahair.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak pernah memecat ketiga-tiga wakil Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor dan sehingga kini tiada keputusan dibuat ke atas mereka.

“Bila dia dipecat? Tak ada kan. Kita akan bincangkan hal ini (Pas putus tahaluf siyasi dengan PKR) sebelum memutuskan nasib tiga Exco ini (Pas).

“Saya akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin parti saya dalam PKR. Kita sibuk nak membangunkan negara, jadi kita mengadakan hubungan dengan negara lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.

Isnin lalu, Wan Azizah berkata, Biro Politik PKR memutuskan agar kesemua lantikan wakil mereka dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan serta-merta.

Bagaimanapun nasib tiga Exco Pas di Selangor, akan diputuskan dalam mesyuarat sama sebaik sahaja Azmin pulang dari luar negara.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, beliau mengambil serius pandangan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pintu rundingan terus dibuka kepada Pas.

“Sebaik saja saya tiba di KLIA, saya terima mesej daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau meminta saya memastikan pintu (rundingan) terbuka untuk perbincangan lanjut dengan Pas.

“Pastinya pandangan ini akan diberikan perhatian serius dalam perbincangan (biro politik),” katanya.

Azmin turut menyambut baik hasrat Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu menemui pimpinan PKR berhubung keputusan terbaru biro politik itu.

“Saya juga dimaklumkan Pas juga ingin bertemu dengan pimpinan PKR dan kita akan aturkan pada masa yang sesuai,” ulasnya.

Ditanya pemberita tentang Pas tidak akan meletakkan jawatan Exco Selangor selagi mana mendapat perkenan Sultan Selangor, Azmin bagaimanapun berkata, perkata itu tidak berbangkit.

“Ia tidak relevan, bermakna perkara itu tidak berbangkit, pada ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette