Home Nasional Ku Nan kesal pihak hasut bantah projek pembangunan semula

Ku Nan kesal pihak hasut bantah projek pembangunan semula

Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu dipercayai pembangkang yang menghasut penduduk di kawasan Jinjang Selatan Tambahan supaya membantah pembangunan semula di kawasan mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menyifatkan perlakuan itu sebagai menangguk di air keruh bagi mendapatkan sokongan politik dengan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk walaupun sudah bersetuju dengan tawaran yang diberi oleh pihak pemaju, lapor sebuah laman portal pro Barisan Nasional.

“Saya tidak faham mengapa mereka menghentam kerajaan dan cuba nak menjadi hero rakyat dalam perkara ini.

“Kini mereka meminta pembangunan ini dihentikan jika tuntutan mereka tidak dilayan,” katanya berucap di majlis sumbangan kepada Persatuan Penduduk WPKL, Surau dan PPR/PA dan golongan miskin bandar, di ibu negara, pada Sabtu.

Pembangunan di kawasan berkenaan membabitkan lebih 500 penduduk Jinjang Selatan Tambahan yang menetap di 107 rumah setinggan di tanah milik kerajaan.

Penduduk di kawasan itu menerima notis supaya berpindah dari DBKL pada 15 Mac lalu dan mengosongkan premis pada 14 April selain perlu berbuat demikian sebelum 18 Mei lepas.

Bagaimanapun, pada 9 Mei lalu, kumpulan penduduk berkenaan yang diwakili Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul meminta siasatan dilakukan terhadap notis pengusiran yang diragui.

Sementara itu, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, projek pembangunan semula kawasan berkenaan akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan pemaju bersetuju untuk membayar kadar sewa bulanan rumah yang disewa penduduk. – MalaysiaGazette