PETALING JAYA – Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan mengulas pertanyaan wartawan selepas tidak memegang plakad ‘Anwar PM Ke-7’ semasa menghadiri Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di sini hari ini.
Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengangkat plakad tersebut walhal semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) memegang sepanduk tersebut sebagai tanda sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menjadi perdana menteri sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum nanti.
Mahathir yang ditemui wartawan selepas kongres tersebut sekadar melambai dan masuk ke dalam keretanya tanpa sebarang kenyataan.
Plakad ‘Anwar PM ke-7’ diangkat pemimpin pembangkang sebaik sahaja Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menamatkan ucapan dasarnya dan disusuli tanyangan video Anwar.
Turut menyatakan tanda sokongan adalah barisan kepimpinan PH.
Mahathir baharu sahaja dilantik sebagai penasihat PH selain Anwar baru-baru ini.
Mengulas mengenai tindakan itu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi alasan kedua-dua pemimpin itu sibuk mengambil gambar sebagai punca tidak mengangkat plakad tersebut.
“Saya rasa mereka sibuk mengambil gambar dan disebabkan itu tidak memegang sepanduk,” katanya sambil menambah beliau sendiri tidak diberikan sepanduk berkenaan. – MalaysiaGazette