Home Utama Kerana dendam Tun M sanggup tandatangan petisyen bebas Anwar – Nazri

Kerana dendam Tun M sanggup tandatangan petisyen bebas Anwar – Nazri

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berucap pada majlis Bicara Tokoh "Isu Semasa : Apa Kata Chief?" di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah hilang pertimbangan kerana dendamnya terhadap kerajaan sehingga sanggup menandatangani petisyen untuk membebaskan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendakwa Dr Mahathir sanggup berbuat demikian semata-mata hanya kerana dendamnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak memenuhi permintaannya.

“Jadi kita nampak jelas hari ini Dr Mahathir sudah hilang pertimbangan hanya kerana dendam kesumatnya terhadap Datuk Najib,” kata Nazri semasa bicara tokoh ‘Isu Semasa : Apa Kata Chief’ anjuran Kelab-Kelab UMNO Luar Negara hari ini.

Nazri berkata, dendam Dr Mahathir terhadap Najib disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan yang menyebelahi anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak gagal memenangi pemilihan UMNO bagi jawatan Ketua Pemuda pada 2009.

Kemarahan Dr Mahathir kemudiaan berterusan apabila tidak berpuas hati dengan tindakan Najib melantik Khairy Jamaluddin sebagai menteri Kabinet walhal kehendaknya mahu melihat Mukhriz menjadi menteri besar Kedah sudah dipenuhi.

“Dia tidak puas hati kerana selepas Khairy dilantik dalam kabinet secara tidak langsung anaknya menjadi junior (dalam UMNO),” ujarnya.

Lanjutan dendam Dr Mahathir terhadap Najib berterusan semasa pemilihan UMNO pada 2013 lalu di mana anaknya tewas apabila Najib enggan menyokong Mukhriz sehingga tewas.

Menurut Nazri, kemuncak kemarahan Dr Mahathir terhadap Najib adalah selepas anaknya disingkir daripada menjadi menteri besar Kedah pada 2015 lalu.

“Selepas Mukhriz digugurkan jadi menteri besar, Dr Mahathir terus mendesak untuk menjatuhkan Najib serta-merta,” katanya lagi.

Dr Mahathir hari ini menandatangani petisyen membebaskan Anwar semasa menghadiri Kongres Nasional PKR di Shah Alam walaupun semasa era pentadbirannya dahulu juga bertindak memenjarakan bekas ketua pembangkang itu. – MalaysiaGazette