Home Akhbar Cina 90 pelancong China diragut setiap bulan

90 pelancong China diragut setiap bulan

Sinchew Daily melaporkan statistik tersebut yang diperoleh daripada rekod pihak kedutaan untuk empat bulan pertama tahun ini menunjukkan kes ragut semakin menjadi-jadi.

KUALA LUMPUR – Purata 90 orang pelancong China telah diragut dan kehilangan pasport setiap bulan.

Sinchew Daily melaporkan statistik tersebut yang diperoleh daripada rekod pihak kedutaan untuk empat bulan pertama tahun ini menunjukkan kes ragut semakin menjadi-jadi.

Akhbar itu juga melaporkan, banyak kes ragut pelancong China adalah dipercayai didalangi oleh sindiket jenayah dari Amerika Selatan.

“Pihak kedutaan menasihatkan pelancong China yang melawat Malaysia supaya berhati-hati dengan harta benda diri sendiri.

“Pelancong yang kehilangan pasport perlu membuat laporan polis dan berkunjung ke pejabat kedutaan China untuk memohon dokumen perjalanan,” demikian gesaan Kedutaan China kepada rakyat negara itu yang melawat Malaysia.

Seorang pelancong wanita dari China yang melakukan selfie di hadapan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini telah diragut oleh penjenayah yang menunggang motosikal.

Mangsa sempat merakamkan detik dirinya diragut oleh penjenayah yang datang dari arah belakang. Video ragut itu turut menjadi viral di dalam Internet.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan mendedahkan bahawa terdapat sindiket dari Amerika Selatan yang menyasarkan pelawat asing di kawasan pelancongan di sekitar Lembah Klang.

Seorang pemandu bas persiaran dilaporkan menahan seorang lelaki dari Peru yang mencuri beg milik pelancong China.

Mengenai kes ragut melibatkan pelancong, Presiden Persatuan Pemandu Pelancong, Jimmy Leong berkata, pemandu pelancong boleh menasihatkan pelancong yang melakukan lawatan supaya meninggalkan beg dalam bas persiaran yang pintunya dikunci dan dijaga oleh pemandu bas.

Jimmy turut mencadang anggota polis ditambahkan di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan ramai khususnya di Kuala Lumpur dan Melaka. – MalaysiaGazette