Home Politik Debat gagal selepas polis suruh ahli UMNO buat laporan – Nazri

Debat gagal selepas polis suruh ahli UMNO buat laporan – Nazri

Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa pihak polis menyuruh ahli UMNO dan ketua kampung di kawasan parlimennya, Padang Rengas membuat laporan berhubung debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga ia terpaksa dibatalkan.

Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sepatutnya berdebat dengan Mahathir pada 25 Mac lalu bagaimanapun dibatalkan selepas pihak polis tidak membenarkannya atas alasan faktor keselamatan.

“Saya tanya, apasal kamu buat benda (laporan polis), dia kata polis suruh,” kata Nazri merujuk kepada tiga orang di kawasannya yang membuat laporan polis berhubung debat tersebut semasa bicara tokoh ‘Isu Semasa : Apa Kata Chief’ anjuran Kelab-Kelab UMNO Luar Negara hari ini di Matic malam tadi.

Nazri juga mendedahkan terdapat lima laporan polis yang dibuat berhubung debat tersebut, tiga daripadanya adalah ketua cawangan, ketua pemuda dan ketua kampung di Padang Rengas.

“Lima laporan saya dapat. Lima laporan ini saya nak beritahu ayat semua sama. Tapi bukan tulis tangan pun, yang bawah itu tandatangan ketua cawangan saya, ketua kampung saya dan seorang pemuda UMNO saya,” katanya lagi.

Apa pun, katanya, alasan faktor keselamatan diberikan oleh pihak polis tidak masuk akal sama sekali.

Jika debat di Malaysia tidak selamat, Nazri menyatakan kesediaan untuk berdebat dimana-mana sahaja termasuk jika terpaksa dilakukan di Antartika sekali pun.

“Kalau jejas sangat keselamatan, kita buat debat di Antartika. Saya sedia berdepan dengan Mahathir kerana dia cabar saya, anytime saya berjanji.

“Saya nak bongkar penipuan Dr. Mahathir,” katanya.

Terdahulu Nazri meminta tarikh debat antara beliau dengan bekas bosnya itu ditunda ke 7 April di Kompleks Karangkraf selepas polis menolak tarikh asal iaitu pada 25 Mac di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, debat di Ibupejabat Karangkraf di Shah Alam juga terpaksa dibatalkan atas alasan yang sama.

Nazri sebelum ini menyahut cabaran Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk berdebat mengenai perkara yang memberi kesan kepada negara. – MalaysiaGazette