Home Akhbar Cina Jangan harap rampas Kedah tanpa Pas

Jangan harap rampas Kedah tanpa Pas

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan dijangka sukar untuk merampas Kedah daripada Barisan Nasional (BN) tanpa kerjasama daripada Pas.

Nanyang Siang Pau dalam rencana pengarangnya menjangkakan bahawa BN akan kekal menjadi pemenang di Kedah apabila retaknya hubungan Pas dengan Pakatan Harapan termasuk dengan PKR baru-baru ini.

Menurut akhbar itu, walaupun Parti Pribumi Bersatu menyatakan harapan untuk mentadbir Kedah bersama sekutu Pakatan Harapan yang lain, tetapi ia bukan laluan yang mudah kerana masing-masing PKR dan DAP hanyalah “watak sampingan” di Jelapang Padi Malaysia.

“Pengaruh DAP dan PKR secara relatifnya adalah kurang , mereka hanyalah watak sampingan semasa pembangkang merampas Kedah daripada BN pada Pilihan Raya 2008.

“Pada Pilihan Raya 2013 pula, pembangkang kecundang di Kedah ekoran konflik dalaman yang dahsyat dalam Pas sehingga BN dapat memanfaat keadaan dan menyelinap masuk ke Kedah.”

Menurut akhbar itu, Parti Pribumi Bersatu melalui Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melepaskan mesej politik yang agak jelas untuk memimpin jentera Pakatan Harapan di Kedah.

“Tidak dinafikan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah berakar di Kedah dan mempunyai pengaruh sendiri.

“Tetapi masih sukar untuk Pakatan Harapan untuk menggugat BN di Kedah tanpa sokongan Pas.”

Dalam pada itu, kolumnis Kwong Wah Daily, Lin Si Xia juga mempertikaikan “tsunami Melayu” yang dinyatakan DAP akan mengambil tempat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“DAP asyik menyatakan akan berlaku “tsunami Melayu” dalam pilihan raya akan datang, tetapi ke manakah arah tsunami ini? Adalah ia ke arah Parti Pribumi Bersatu, Parti Amanah Rakyat, PKR atau Pas yang menjadi kuasa ketiga?

“Lihat dua pilihan raya kecil pada Jun tahun lalu, Parti Amanah Rakyat yang disokong oleh DAP dan menerima bantuan Tun Dr. Mahathir untuk berkempen sekadar mengekalkan maruahnya dengan bergantung kepada pengundi Cina.

“Undi Melayu pula menuju ke arah UMNO dan Pas,” katanya.