Home Utama Kastam yakin kutip tambahan GST RM3 bilion

Kastam yakin kutip tambahan GST RM3 bilion

Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia yakin dapat mencapai sasaran untuk kutipan tambahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM3 bilion melalui pendekatan operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) yang lebih bersifat pematuhan pendidikan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Perkastaman dan GST Datuk Zulkifli Yahya berkata sasaran itu berdasarkan kutipan tambahan RM1 bilion yang berjaya dikutip dalam tempoh empat bulan selepas Ops CBOS dilaksanakan 1 Sept lepas.

“Pendekatan yang kami jalankan sebelum ini lebih kepada bentuk penguatkuasaan yang dilihat kurang berkesan. Oleh itu, kali ini kastam ubah strategi yang lebih bersifat mesra pelanggan dan berteraskan pendidikan dalam usaha memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih keliru dan kurang faham tentang GST.

“Terdapat peniaga yang masih tidak faham mengenai GST dan ada juga yang tidak membayar GST dengan betul, malah ada yang mengikrarkan GST lebih rendah daripada kadar ditetapkan, selain yang mengutip tetapi tidak membayar kepada JKDM,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops CBOS di sini Isnin.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk mengunjungi 200,000 syarikat daripada 423,520 syarikat yang mendaftar GST di seluruh negara menerusi Operasi CBOS itu dan mengunjungi 15,000 syarikat di negeri ini membabitkan farmasi, restoran, peruncit, kontraktor pembinaan, kedai barang logam, pengedar kenderaan dan pusat hiburan.

“Kami memaklumkan pemilik mengenai kaedah tepat berhubung GST, jika masih terdapat kesalahan, syarikat itu akan diberi tempoh 30 hari untuk membuat pembetulan. Selepas ini, tindakan tegas akan diambil sekiranya masih ada lagi golongan peniaga yang mengingkari peraturan GST termasuk yang gagal mengemukakan penyata selain yang mengutip cukai itu namun tidak membayar kepada Kastam,” katanya.

Zulkifli berkata sejak GST dilaksanakan pada April 2015, sebanyak 6,000 kertas siasatan dibuka dengan 800 syarikat sudah didakwa di mahkamah membabitkan kesalahan seperti tidak menghantar penyata GST, menghantar penyata tetapi tidak membayar, tidak mendaftar GST dan penipuan GST.

“Selain itu, JKDM juga menyasarkan kutipan GST sebanyak RM42 bilion di seluruh negara, sepanjang tahun ini dengan membabitkan nilai RM4.6 bilion bagi Pulau Pinang tahun ini,” katanya.

CBOS yang dilaksanakan pada 1 Sept tahun lepas itu bertujuan melaksanakan tindakan verifikasi dan pengauditan ke atas syarikat berdaftar dengan sistem percukaian GST selain memberikan pengecualian penalti jika pembayar cukai secara sukarela menyatakan kesilapan atau jumlah yang kurang dibayar sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu Zulkifli berkata pengimport rokok, arak dan bir kini perlu mempunyai lesen mengimport dikeluarkan pihaknya bagi urusan transit di semua pelabuhan di negara ini selari dengan peruntukan baharu dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Beliau berkata peruntukan baharu itu terpakai bagi setiap urusan transit atau pindah kapal membabitkan barang-barang yang disenaraikan berkuatkuasa April lepas adalah untuk pemerkasaan, termasuk memperketat syarat lesen import bagi menangani masalah penyeludupan rokok, arak dan bir.

— BERNAMA