Home Dunia Polis gempur Crackland, bandar dadah

Polis gempur Crackland, bandar dadah

Pemandangan di Crackland, kawasan penagihan dadah bebas di Sao Paulo. foto Agensi

SAO PAULO – Polis Brazil menahan hampor 40 orang atas kesalahan dadah di tengah-tengah bandar ini, yang mana kokain dijual dan digunakan secara bebas sejak bertahun-tahun.

Kira-kira 500 polis bersenjata terlibat dalam operasi tersebut.

Berpuluh-puluh yang marah dengan tindakan itu bertindak merosakkan kenderaan dan merompak kedai-kedai.

Datuk Bandar Sao Paulo, Joao Doria berkata, operasi itu menandakan berakhirnya kebebasan di kawasan yang dikenali sebagai Cracolandia atau Crackland.

Pengkritik berkata, langkah itu hanya akan mendorong masalah ini menular ke bandar lain.

Doria berjanji untuk merobohkan banyak bangunan dan membangunkan semula jalan-jalan berdekatan dengan stesen kereta api Luz yang telah menjadi pasar dadah terbuka sepanjang dekad yang lalu.

“Crackland tidak wujud lagi dan tidak akan kembali lagi. Kerajaan sama sekali tidak akan membenarkannya,” kata Doria semasa operasi itu.

Malah, kamera litar tertutup akan dipasang di bandar itu.

Doria mengakui sukar untuk mengakhiri permasalahan dadah di bandar itu tetapi polis akan ditempatkan sepenuh masa agar masalah itu dapat dikurangkan.

Gabenor Sao Paulo, Geraldo Alckmin berkata, sebanyak 3,000 tempat pemulihan diwujudkan bagi menawarkan rawatan pemulihan. – MalaysiaGazette