Home Seni Hidup UNIC tewaskan Hijjaz, juara Gema Gegar Vaganza

UNIC tewaskan Hijjaz, juara Gema Gegar Vaganza

Kumpulan nasyid, UNIC diumumkan juara musim pertama Gema Gegar Vaganza malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid, UNIC membuat kejutan kejutan apabila diumumkan juara musim pertama Gema Gegar Vaganza (GGV) yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB di sini malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul, Bazli dan Nakdi menewaskan kumpulan pilihan, Hijjaz yang diumumkan sebagai naib juara.

UNIC mendendangkan lagu Ainul Mardhiah disusuli tugasan kedua bersama kumpulan Saujana dengan lagu Kalah Dalam Menang untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Hijjaz pula menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi selain memenangi Anugerah Persembahan Pilihan Penonton dengan hadiah kemenangan wang tunai RM5,000.

Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan Mirwana dengan hadiah wang tunai RM20,000 manakala tempat keempat disandang Azmi Saat.

Azmi turut dipilih sebagai penerima Anugerah Gema Terindah. Sementara itu, Hafiz Hamidun memenangi tempat kelima dan kumpulan Saujana di tempat keenam.

GGV menampilkan juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi manakala Datuk Siti Nurhaliza menjadi juri jemputan.

Sementara itu, Achey, Fikry dan Siti Nordiana bertindak sebagai pengacara sepanjang lapan minggu GGV bersiaran. – MalaysiaGazette