Home Nasional Alat komunikasi rosak, minyak habis punca bot kapal KD Perdana terputus hubungan

Alat komunikasi rosak, minyak habis punca bot kapal KD Perdana terputus hubungan

Gambar dari helikopter Bot Boarding Team milik Kapal Diraja (KD) Perdana yang membawa bersama seorang pegawai dan lapan orang Laskar Kanan KD Perdana yang dilaporkan hilang telah ditemui selamat.

KUANTAN – Kerosakan alat komunikasi dan kehabisan bekalan minyak merupakan antara punca awal yang dikenal pasti menyebabkan bot kapal KD Perdana terputus hubungan dengan kapal induknya dalam kejadian yang berlaku di perairan Sedili, Johor, Sabtu lepas.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk merumuskan tentang punca sebenar ia berlaku.

“Mereka terputus hubungan ketika melakukan operasi untuk mengusir bot nelayan asing…kita tidak dapat jelaskan secara terperinci puncanya dan kita telah pun menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat perkara ini.

“Ini termasuk meneliti bagaimana alat komunikasi tidak berfungsi dan puncanya. Untuk itu, seorang pegawai kanan akan mengetuai lembaga siasatan ini dengan disertai beberapa anggota untuk mengetahui punca dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) Pangkalan TLDM Tanjung Gelang selepas menyambut ketibaan sembilan kru bot kapal KD Perdana yang hilang dalam kejadian berkenaan, di sini hari ini.

— BERNAMA