ENGLAND – Manchester United dikatakan sudah bersedia untuk melepaskan bintang pertahanan berpengalaman di Old Trafford, Chris Smalling pada akhir musim ini.
Laporan eksklusif The Sun berkata, kelab Liga Perdana Inggeris iaitu West Ham United dan West Bromwich dilaporkan berada di hadapan untuk mendapatkan pemain itu.
Jose Mourinho selaku pengurus The Red Devils dilaporkan akan membuat keputusan untuk menentukan sama ada Smalling atau Phil Jones untuk berganding di bek pertahanan dengan Daley Blind menjelang perlawana akhir Liga Eropah awal pagi Khamis ini.
Manchester United akan meentang Ajax di Stockholm, Belanda untuk merangkul kejuaraan piala Eropah itu untuk secara automatik layak ke aksi Liga Juara-juara musim depan.
Smalling tidak beraksi dalam perlawanan akhir EPL musim ini menentang Crystal Palace Ahad lalu akibat kecederaan lutut.
Aksi cemerlang Marcos Rojo dan Phil Jones menyebabkan dia tidak menjadi pilihan pertama Mourinho.
Mourinho mengkritik Smalling secara terbuka di tempat awam bahawa pemain berusia 27 tahun itu terlalu khuatir dengan prestasi dirinya.
Mourinho dikatakan hilang kesabaran ke atas Smalling yang beraksi cemerlang di bawah bekas pengurus Louis van Gaal dan memperbaharui kontrak sehingga tahun 2019.
West Ham dilaporkan memantau secara dekat prestasi Smalling dan mahu menguatkan jentera pertahanannya menjelang persaingan EPL musim 2017/2018 selepas berjaya memuktamadkan pembelian bekas pemain Manchester City Pablo Zabaleta yang dilepaskan secara percuma.
Sementara, Pengurus West Brom Tony Pulis pula memburu bintang antarabangsa England itu untuk menyatukan dengan bekas rakannya Jonny Evans di Hawthorns musim depan. – MalaysiaGazette