Home Utama Suasana kecoh enam pramugari berpesta dadah dibebaskan

Suasana kecoh enam pramugari berpesta dadah dibebaskan

Enam pramugari sebuah syarikat penerbangan terkemuka yang ditahan selepas dipercayai berpesta dadah dibawa oleh anggota polis bagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2017.

SEPANG – Enam pramugari yang ditahan kerana terlibat dalam pesta dadah bersama enam lelaki dibebaskan dengan jaminan polis hari ini setelah siasatan kes selesai.

Mereka yang disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah jenis ketamin sepatutnya didakwa di mahkamah di sini bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan setelah tempoh tahanan reman tamat kelmarin.

Suasana di perkarangan mahkamah kecoh ketika keenam-enam pramugari itu dibawa keluar kira-kira pukul 12 tengah hari apabila dua lelaki dipercayai keluarga suspek meluru ke arah jurugambar dan mengugut supaya mereka berhenti merakam foto.

Kira-kira 20 ahli keluarga suspek menunggu di perkarangan mahkamah, dan suasana kecoh itu bagaimanapun akhirnya dapat ditenangkan.

Kesemua suspek sebelum itu tiba di perkarangan Mahkamah Sepang di sini dengan menaiki van polis pada pukul 9.40 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga serta muka mereka ditutup dengan baju.

Enam lelaki yang ditahan selepas dipercayai berpesta dadah bersama enam pramugari dibawa oleh anggota polis bagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2017.

Kertas siasatan kes pesta dadah di sebuah rumah di Kota Warisan di sini, Sabtu lalu itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam pramugari ditahan adakan pesta dadah

Sinchew Daily melaporkan kesemua suspek gagal melepasi ujian air kencing ditahan di sebuah kediaman di Jalan 8/16 Kota Warisan, Sepang pada 1.30 pagi pada Jumaat lalu.

Ibu Pejabat Daerah Polis Sepang yang menerima maklumat telah menyerbu kediaman itu tetapi orang di dalamnya enggan membuka pintu.

Keadaan itu memaksa polis memecahkan pintu dan menemui peralatan pengambilan dadah dan serbuk syabu seberat 0.05 gram di dalam rumah.

Kesemua enam pramugari yang ditahan berumur antara 19 hingga 23 tahun dan adalah dari syarikat penerbangan yang sama.

Enam lelaki yang ditahan pula berumur antara 22 hingga 25 tahun. – MalaysiaGazette