Home Politik Surat terbuka Syed Saddiq, sindiran kepada PKR

Surat terbuka Syed Saddiq, sindiran kepada PKR

Syed Saddiq Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – “Apa yang berlaku di Kongres PKR (minggu lalu) adalah amat sedih dan mengecewakan sekali”, demikian sindir Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung surat terbukanya kepada Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Tindakan pemimpin PKR yang menyerang pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad jelas menunjukkan mereka cuba memaksa Mahathir bersetuju dengan seruan untuk melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahin sebagai perdana menteri pilihan pembangkang.

“Kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan untuk mengikat jiwa yang terpisah bertukar menjadi medan melempias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikitpun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama dalam Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya.

“Kongres itu telah memperlihatkan dengan jelas sokongan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah menurunkan tandatangan sokongan bagi kempen Bebas Anwar.

“Tapi semua itu seakan tidak dihiraukan apabila kepimpinan tertinggi PPBM ini seakan ‘dipaksa’ dan ‘diperangkap’ untuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Datuk Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-7,” katanya.

Walhal ujar beliau, tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri.

“Janganlah taksub sampai soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihan raya dikebelakangkan kerana ketaksuban sesetengah pihak. Ketaksuban ini sampai ke satu tahap di mana rakan seperjuangan di ‘ambush’ semasa Kongres PKR,” ujar beliau.

Saddiq turut mempersoalkan motif sebenar ahli-ahli PKR yang sengaja menimbulkan provokasi apabila bersorak sambil membawa sepanduk “Anwar PM ke-7”, yang padanya seolah-olah cuma memalukan Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tetamu kepada parti tersebut.

“Adakah suatu kepuasan dan kebanggaan bagi mereka di sebalik tindakan ini yang dapat memalukan Tun, Muhyiddin dan PPBM? Adakah mereka merasakan sokongan rakyat khususnya orang Melayu akan bersama mereka dengan perlakuan sebegitu yang mampu mencalar keutuhan bersama dalam Pakatan?” soal Saddiq dalam surat terbuka kepada PH hari ini.

Surat panjang lebar itu turut menimbulkan persoalan berkaitan siapa yang sebenarnya layak menjadi calon perdana menteri pembangkang.

“Menggunakan strategi ini bolehlah kita mengenal pasti siapakah pemimpin wibawa yang menjadi harapan rakyat ketika ini dan dijadikan garis panduan dalam perbincangan Pakatan Harapan untuk siapa yang lebih layak menerajui Malaysia,” katanya. -MalaysiaGazette.