Home Politik Anwar patut jadi PM kelapan bukan ketujuh, kata Salahuddin

Anwar patut jadi PM kelapan bukan ketujuh, kata Salahuddin

Salahudin Ayub

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya calon Perdana Menteri (PM) kelapan bukan ketujuh, kata Salahudin Ayub.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu berpendapat, buat masa ini, Pakatan Harapan (PH) perlu memilih calon PM dalam kalangan pimpinan yang ada menjelang PRU-14.

“PM ketujuh akan bertanggung jawab membentuk kabinet baru, melakukan reformasi urustadbir negara dan berusaha untuk mendapatkan pengampunan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Salahudim, calon PM ketujuh boleh dilantik sama ada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bosnya sendiri, Mohamad Sabu.

Apa yang penting, mereka teguh dengan sifat amanah dan pro kepada rakyat, katanya.

“Inilah masanya rakyat mahu melihat kebijaksanaan pimpinan utama PH tampil bagi menyelesaikan setiap permasalahan negara dan rakyat. Duduklah berunding demi kepentingan rakyat dan kemudian barulah berlunjur untuk berkhidmat mereformasi negara,” ujarnya lagi.

Mengenai insiden pimpinan PKR mengangkat plakad menyokong Anwar sebagai PM ketujuh, Salahudin menganggap ia perkara biasa dalam konvensyen parti.

Bagaimanapun, ia bukan satu keputusan walaupun usaha menjadikan Anwar sebagai PM sudah secara dasarnya dipersetujui oleh pakatan pembangkang.- MalaysiaGazette