KUALA LUMPUR – Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai seorang yang tidak ada prinsip perjuangan sebaliknya membuat sesuatu kerana dendam, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, ia terbukti apabila bekas perdana menteri itu sanggup menandatangani petisyen bagi membebaskan individu yang pernah menjadi musuhnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa, Mahathir bersikap sedemikian semata-mata mahu mencapai matlamatnya menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Orang ini (Dr Mahathir) dia nak tengok Najib jatuh saja. Untuk itu dia sanggup buat apa cara untuk menghalalkan tujuan.
“Jadinya dia duduk dengan Kit Siang, janji Najib jatuh. Takde perjuangannya dia tu,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pada Program Dialog TN50, Perspektif Seni Budaya dan Warisan di sini petang tadi.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut mendakwa, Mahathir bersikap seprtui itu hanya kerana mahu melunaskan dendam terhadap Najib ekoran empat perkara yang berlaku terhadap anaknya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
“Ada empat perkara dia jadi begitu, antaranya anak dia kalah dengan Khairy (Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin). Kalah jawatan Naib Presiden UMNO. Anak dia gugur daripada jawatan Menteri Besar Kedah.
“Dia tak suka semua tu. Tapi PM (Najib) buat juga. Dalam satu pasukan kita sokong PM lantik Khairy sebab dia dulu naib jadi dialah patut jadi ketua pemuda. Akhirnya anak dia kena drop sebab tak perform.
“Jadi bila orang marah dia sanggup duduk dengan siapa sekalipun,” ujarnya. – MalaysiaGazette