KUALA LUMPUR – Datuk Jamal Abdillah mengesahkan beliau kembali bergelar suami apabila memilih gadis berusia 23 tahun sebagai isteri pada 1 April lalu.
Jamal yang berusia 58 tahun menduda sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, Jamal yang pernah berkahwin sebanyak tiga kali sebelum itu enggan mendedahkan identiti suri hatinya mahu pun perincian majlis pernikahan kali keempatnya itu.
Semalam, kisah pernikahan Jamal itu mula heboh diperkatakan dan menerusi maklum balas kepada pihak, penyanyi itu tampil mengesahkannya namun tidak mahu mengulas lebih lanjut.
Malah gambar beliau bersama isteri baharunya itu yang memiliki wajah ayu turut tersebar di laman sosial.
Difahamkan, gadis bertuah yang berjaya mencuri hati penghibur bersuara emas itu berasal dari Kulim, Kedah dan majlis pernikahan mereka hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua mempelai.
Sebelum ini Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Latif pada 1988, namun mereka bercerai lapan tahun kemudian dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Penyanyi itu kemudian menikahi Intan Noraina Mohd Yusof pada tahun 2001 dan mereka dikurniakan anak lelaki, Osama Yamani, yang kini berumur 16 tahun.
Bagaimanapun perkahwinan mereka juga tidak berkekalan dan selepas itu beliau bertemu jodoh buat kali ketiga dengan Fatimatuzahra Samat pada tahun 2005.
Menerusi perkongsian hidup selama dua tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Zaki Yamani yang sudah mencecah usia 10 tahun. – MalaysiaGazette