Home Nasional Peningkatan taraf hidup catat pencapaian 122% 2016

Peningkatan taraf hidup catat pencapaian 122% 2016

KUALA LUMPUR – Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH) mencatat kejayaan dengan pencapaian 122 peratus Indeks Pencapaian Utama (KPI) ditetapkan tahun lepas.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016, pencapaian itu hasil usaha pelbagai agensi yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan peruntukkan RM66.71 juta kepada semua agensi terlibat terutamanya menerusi program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM).

Laporan itu menyebut, sejak 2010, kerajaan membelanjakan lebih RM1.9 bilion ke atas NKRA LIH dengan bertujuan membebaskan rakyat daripada dibelenggu kemiskinan dan kemiskinan tegar.

“Daripada paras kemiskinan sebanyak 3.8 peratus pada tahun 2009, NKRA LIH menyaksikan penurunan paras kemiskinan kepada 0.6 peratus pada 2014,” menurut laporan yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) semalam.

Lebih 90 peratus peserta yang menyertai program 1AZAM menyaksikan pendapatan tahunan mereka meningkat melebihi RM300.

Pada tahun lepas, seramai 7,898 peserta baharu menyertai 1AZAM, menjadikan jumlah peserta baharu dan sedia ada seramai 10,225 dan berjaya meningkatkan pendapatan melebihi RM300 manakala 2,329 peserta Beyond 1AZAM meningkatkan pendapatan sebanyak 50 peratus atau lebih.

NKRA LIH turut melaksanakan inisiatif memperkasakan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam mendapatkan pekerjaan, peluang latihan dan pekerjaan di luar pekerjaan formal, untuk membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan.

Bagi memanfaatkan program pengupayaan ekonomi dan keberkesanan program LIH pada masa hadapan, laporan itu menyebut proses keseluruhan 1AZAM akan dipertingkatkan dengan penyerapan ‘graduan’ 1AZAM sebagai peserta Beyond 1AZAM.

Agensi berkaitan penyampaian berimpak di bawah NKRA akan merangka langkah bagi menempatkan mereka dalam kalangan 40 peratus pertengahan (M40) dan segmen 20 peratus berpendapatan tinggi (T20).

Usaha yang dilaksanakan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula menyediakan bantuan kewangan pinjaman mikro untuk membantu aktiviti ekonomi yang berpotensi menjana lebih banyak pendapatan bagi isi rumah berpendapatan rendah.

NKRA LIH akan bekerjasama dengan SME Corp dan beberapa bank untuk memudahkan pembiayaan mikro kredit kepada peserta di samping menyediakan sokongan tambahan seperti latihan pemasaran kepada peserta 1AZAM yang berpotensi dan berjaya. – MalaysiaGazette