NILAI – Bekas jaguh basikal negara, Josiah Ng membuat penampilan khas berlumba dengan juara dunia acara keirin, Azizulhasni Awang di Velodrom Nasional yang terletak di Nilai sebagai antara gimik perasmian trek tersebut hari ini.
Velodrom Nasional bakal digunakan pada temasya Sukan SEA ke-29 bermula Ogos dan September ini.
Antara pelumba basikal legenda tanah air yang hadir, Datuk Ng Joo Ngan, M. Kumaresan, Rosman Alwi selain Josiah Ng dan Azizulhasni sendiri.
Azizul dalam ucapannya, melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan keperluan sukan berbasikal negara apabila terbinanya Velodrom Nasional itu.
“Saya mewakili kumpulan berbasikal ingin mengucapkan kepada Datuk Seri Najib Razak yang peka dengan sukan berbasikal negara dengan pembinaan kompleks ini,” katanya. – MalaysiaGazette