KUALA LUMPUR – Berikutan dakwaan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman menjadi dalang utama mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatannya, beliau hari ini tampil menafikan perkara tersebut.
Menolak tuduhan tersebut, beliau mendesak bukti yang sahih dan kukuh ditunjukkan kepadanya, terhadap dakwaan tersebut yang disifatkan beliau sebagai tidak adil.
“Saya rasa tidak adillah untuk menuduh saya tanpa bukti. Dalam isu ini semua orang ada perasaan dia sendiri (terhadap Muhyiddin) dan bukan semua saya boleh kawal.
“Tindakan-tindakan (sidang media) mereka itu pula, bukanlah satu tindakan yang saya atur ataupun saya susun. Saya rasa tuduhan itu perlu adil kepada saya.
“Kalau mahu buat apa-apa tuduhan adalah lebih baik perkara itu disiasat betul-betul terlebih dahulu kemudian panggil saya menghadap, tanya apa ceritanya, barulah adil,” kata Hamidah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan MalaysiaGazette semalam yang memetik sumber atasan PPBM mendakwa Hamidah adalah dalang utama terhadap desakan menjatuhkan Muhyiddin dalam parti.
Laporan menyebut, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar yang sebelum ini mengadakan sidang media di Perak membuat desakan supaya Muhyiddin letak jawatan merupakan adik ipar kepada Hamidah.
Malah sidang media tersebut sebenarnya sudah dirancang oleh Hamidah sendiri.
Sumber yang sama mendedahkan rasa tidak puas hati dan dendam Hamidah terhadap Muhyiddin didakwa berpunca kerana beliau tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Perak.
Namun tindakannya dilihat sudah melampaui batas apabila sudah berani menyerang pimpinan tertinggi.
Bagaimanapun Hamidah mendakwa perkara tersebut adalah tuduhan liar.
“Benda itu satu pertuduhan liar yang dan bukan kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan PPBM,” katanya. – MalaysiaGazette