Home Utama Anak saya dibelasah tanpa rasa kasihan

Anak saya dibelasah tanpa rasa kasihan

Kesan lebam akibat dipukul jelas kelihatan pada belakang badan dan lengan bekas pelajar Tingkatan Dua MRSM Alor Gajah.

KUALA LUMPUR – Meskipun sukar membuat keputusan, seorang ibu nekad mengeluarkan anak lelakinya dari Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Alor Gajah di Melaka selepas dibelasah oleh beberapa pelajar sekolah asrama tersebut.

Menurut wanita berkenaan, tindakan nekad itu terpaksa dilakukan kerana tidak sanggup melihat anak sulungnya mengalami penderitaan fizikal dan mental akibat dibuli, semata-mata untuk terus berada di sekolah tersebut.

Beliau berkata, kejadian malang yang menimpa anak lelaki itu hanya disedari ketika melawatnya di MRSM berkenaan pada tengah hari 6 Mei lalu.

Katanya, anaknya berjalan mendapatkannya dan suami dalam keadaan mengengkang, muka monyok dan sedih. Dia kelihatan tidak bermaya.

“Saya terus bertanya sama ada dia sihat atau tidak kerana perubahan dia ketara sangat. Banyak kali saya bertanya kepada dia, apa yang tidak kena tetapi anak kata tidak ada apa-apa mama.

“Saya bertanya dan terus bertanya namun dia masih cakap tidak ada apa-apa berlaku. Memandangkan kami ada urusan lain, saya kemudian membantunya membawa dua karton air kotak dan mi segera seperti yang diminta ke kawasan berhampiran asrama.

“Sebelum ini, ketika di rumah saya pun tertanya-tanya kenapa anak tiba-tiba hubungi papanya mintak dua karton air kotak dan mi segera. Banyak sangat sebab kami selalu datang. Setiap kali datang mesti bawa segala keperluan dia.

“Dalam hati memang terdetik macam ada yang tidak kena dengan anak sebab pertemuan kami dua minggu sebelum dia biasa sahaja.

“Ketika dia menghantar barang ke asrama, saya terus menelefon warden minta beliau bertanya kepada anak saya jika ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Wanita kepada tiga anak itu berkata, ketika dia sedang bergerak ke arah kereta untuk pulang, tiba-tiba anaknya meluru dan menangis kuat menyebabkan beliau dan suami terperanjat.

Selepas diasak, baharulah anaknya yang belajar di Tingkatan Dua MRSM Alor Gajah memberitahu yang dia dipukul oleh beberapa senior.

Perkara itu terus dimaklumkan kepada warden dan mangsa telah dibawa ke bilik rehat untuk diperiksa tubuh badannya. Turut berada di dalam bilik itu adalah beliau dan suami serta dua orang lagi guru.

Dalam nada sebak, wanita itu berkata, luluh hatinya melihat kedua-dua tangan, belakang badan dan belakang paha anaknya lebam akibat dibelasah.

Ketika itu anaknya dalam kesakitan terutama pada kaki kerana belakang pahanya lebam.

Warden meminta mangsa memaklumkan apa yang berlaku dan anaknya memberitahu dia dipukul oleh beberapa senior kira-kira pukul 3 pagi pada hari tersebut.

Sebelum dipukul, pada pukul 12 tengah malam anaknya telah diminta memasak mi segera dan mencari air kotak untuk seorang senior Tingkatan 5.

“Selepas itu baru saya tahu anak saya minta air kotak dan Maggi supaya sentiasa ada stok sendiri apabila diminta oleh senior. Kalau tidak ada, dia terpaksa cari dan beli kepada pelajar lain,” katanya.

Wanita memberitahu, anaknya memaklumkan dia menjadi sasaran buli senior kononya telah mentertawakan pelajar-pelajar Tingkatan 3, walaupun dia pernah menafikan berbuat demikian.

Wanita itu berkata, kes itu telah dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan telah panjangkan kepada Bahagian Pendidikan Menengah MARA.

“Apabila anak saya dibelasah tanpa belas kasihan, ia adalah kes buli yang tidak sepatutnya berlaku di mana-mana sekolah.

“Saya bukan mahu mencari publisiti tetapi tindakan ganas oleh para pelajar di sekolah berkenaan perlu dibendung dengan serius.

“Malah ia juga satu peringatan kepada ibu bapa yang anak-anak mereka berada di MRSM Alor Gajah. Jangan ambil mudah jika anak-anak mengadu dibuli oleh senior.

“Mungkin MRSM telah mengambil tindakan ke atas pembuli ini, tetapi apakah jaminan keselamatan kepada para pelajar lain jika mereka kembali semula ke MRSM atau ditukarkan ke MRSM lain.

“Lagi pun, apabila kes anak saya didedahkan, beberapa kes buli asrama sekolah itu turut terbongkar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Parithttp://http://malaysiagazette.com/blog/2017/05/18/6-laporan-kes-buli-di-mrsm-parit/