SHAH ALAM – Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO yang sering kali menjadi mangsa fitnah pembangkang khususnya berhubung isu pengundi hantu sebenarnya dilakukan sendiri oleh pemimpin pembangkang, iaitu DAP.
Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, lebih malang lagi apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim sendiri dipercayai ‘mengimport’ hampir 1,800 pengundi hantu ke kawasannya bagi menghadapi PRU-14.
“Kajian ke atas hampir 14,000 pengundi Sekinchan mendapati 10,000 pengundi Cina manakala hanya 5,800 saja benar-benar tinggal, penduduk dan orang Sekinchan.
“Selebihnya adalah pengundi dari luar, inilah ‘hantu-hantu’ saya tangkap yang dipindahkan Suee Lim ke Sekinchan, jadi kemenangan beliau selama tiga penggal berdasarkan kepada pengundi hantu,” katanya pada sidang media di hadapan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, Jamal selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar bersama NGO Selangor dan sekumpulan pengundi berpakaian hantu menyerahkan memorandum bantahan salah laku Ng Suee Lim kepada Timbalan Pengarah SPR Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri.
Dalam memorandum tersebut, Jamal turut memberikan senarai nama pengundi hantu yang dipindahkan Suee Lim ke DUN Sekinchan dan dipercayai berasal dari Parlimen Bukit Bintang, Seputeh dan Kepong.
Mengulas lanjut, Jamal mendakwa, tindakan Suee Lim itu dilihat ketara pada PRU-13 apabila jumlah majoritnya melonjak lebih 100 peratus berbanding PRU-12 dan PRU-11.
“Bagaimana mereka memindahkan pengundi-pengundi ini ke kawasan-kawasan yang dilihat mampu dimenangi khususnya kubu kuat BN di mana majoritinya 200 hingga 300 atau di bawah 1,000 undi.
“Suee Lim sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di sana, menang majoriti hanya beberapa ratus undi sejak PRU-11 dan PRU-12 lebih 300 sahaja sebaliknya pada PRU-13 lalu dia memperoleh majoriti lebih 2,200 undi,” dakwanya.
Jamal berkata lagi, imej Barisan Nasional dan UMNO terpalit kerana pemimpin pembangkang sendiri mahu menutup perbuatan mereka sebenar bagi memenangi pilihan raya.
“Kononnya pihak SPR menjadi barua kepada BN dan UMNO untuk memindah dan mendaftarkan pengundi secara tidak sah tetapi hari ini saya ingin buktikan apa yang mereka katakan itu adalah sebaliknya, apa yang mereka katakan itu sebenarnya mereka sendiri lakukan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette