Home Ekonomi Pasaran minyak mentah terus lemah

Pasaran minyak mentah terus lemah

SINGAPURA- Pasaran minyak kekal lemah minggu ini apabila OPEC dan sekutu-sekutunya memanjangkan tempoh pengurangan output namun mengecewakan para pelabur yang bertaruh bagi pemotongan bekalan yang lebih besar dan lama.

Reuters melaporkan semasa mesyuarat di Vienna semalam, OPEC bersama pengeluar-pengeluar minyak bukan ahli telah bersetuju untuk mengurangkan output kepada 1.8 juta tong sehari sehingga akhir suku pertama 2018.

Perjanjian asal sepatutnya tamat pada bulan hadapan.

Harga minyak mentah jatuh lima peratus selepas pengumuman tersebut dan sekaligus meneruskan kerugian minggu ini.

Kontrak hadapan minyak Brent didagangkan pada AS$51.47 setong pada 0125 GMT, naik satu sen berbanding ketika ditutup semalam.

US West Texas Intermediate (WTI) kembali di bawah AS$50 kepada AS$48.88.

Bank Barclays Britain berkata, kejatuhan harga tersebut disebabkan terdapat jangkaan supaya pemotongan pengeluaran dilakukan lebih lama atau lebih banyak.

“Terdapat peserta pasaran yang mengharapkan pengurangan bekalan lebih banyak dan melibatkan lebih banyak negara,” katanya.

Penganalisis lain termasuk Goldman Sachs dan bank Jefferies pula berpendapat, normalisasi inventori minyak akan berlaku pada awal tahun 2018.- MalaysiaGazette