Home Politik Guan Eng bengang pegawainya ditampar di masjid

Guan Eng bengang pegawainya ditampar di masjid

Insiden Zaidi ditampar dimasjid di Pulau Pinang semalam.

KUALA LUMPUR  – Tindakan sekumpulan individu yang berdemonstrasi semalam dan menampar pegawainya, Zaidi Ahmad menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bengang dan mengecam penganjur program itu, Jaringan Muslimin Pulau Pinang.

Guan Eng kesal apabila kumpulan tersebut sanggup berbuat demikian dan lebih buruk lagi apabila ia dilakukan dalam kawasan masjid.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana ia tidak seharusnya berlaku keganasan di kalangan masyarakat kita. Walau apa pun, tak boleh pukul orang. Saya lihat ini dah jadi budaya baru. Saya juga amat prihatin dengan apa yang berlaku ke atas pegawai saya.

“Apa-apa hal atau tak sependapat, akan pukul orang. Ini bukan budaya Malaysia, ia budaya luar yang ganas dibawa masuk ke dalam kehidupan masyarakat Malaysia,” kata Guan Eng yang dipetik semasa dalam satu program di Batu Feringghi , Pulau Pinang hari ini.

Zaidi ditampar peserta himpunan aman yang membantah campur tangan Kerajaan Pulau Pinang dalam isu fatwa di Masjid Simpang Enam, Georgetown, 2.30 petang semalam.

Himpunan aman itu bertukar kecoh apabila dikatakan Zaidi cuba membuat provokasi terhadap Pengerusi JMPP, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin ketika sedang berucap selepas solat Jumaat.

Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal beberapa anggota polis cawangan khas yang berada di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, dia menyerahkan kes itu kepada Zaidi untuk menguruskannya. – MalaysiaGazette