Home Nasional Gugur selepas dirompak pemandu Uber

Gugur selepas dirompak pemandu Uber

PETALING JAYA- Seorang wanita yang dirompak oleh pemandu Uber dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Puchong dekat sini pada 21 Mei lalu kini mengalami keguguran.

Pembantu jualan, Wong Mei Yan, 26, yang sedang mengandung sebulan mengalami keguguran selepas seminggu insiden tersebut berlaku.

Katanya, dia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat e-hailing itu kerana telah menyebabkan tekanan emosi dan kehilangan anak dalam kandungan akibat kejadian tersebut.

Mei Yan membuat tempahan untuk balik ke rumahnya menerusi aplikasi Uber sekitar jam 9.30 malam dan dia mendakwa tidak perasan ada seorang lagi penumpang di kerusi penumpang hadapan ketika itu.

Dia juga tidak perasan yang pemandu berkenaan mempunyai ranking yang rendah.

Apa yang diingati Mei Yan, dia mula sedar ada seorang lagi penumpang lelaki yang bertubuh kecil dan kurus apabila pemandu berkenaan mula bercakap dengan lelaki berkenaan.

Katanya, dia tidak bercakap dengan pemandu tersebut sehingga pemandu berkenaan mula mengikut jalan yang salah walaupun Mei Yan sudah menunjukkan arah.

Apabila mereka tiba di pusat perniagaan One Puchong, penumpang yang duduk di hadapan itu mengeluarkan pisau kepada Mei Yan dan meminta dia menyerahkan semua barang berharga.

Mei Yan merayu supaya tidak diapa-apakan kerana dia sedang mengandung dan kedua penjenayah tersebut meninggalkannya di Koi Kinrara sebelum dia dibantu oleh pengguna jalan raya lain yang membawanya ke balai polis berdekatan.

Polis telah menahan pemandu Uber tersebut di R&R Pagoh, Muar di Johor pada 24 Mei lalu.-MalaysiaGazette