Home Dunia Kontroversi mayat dibawa turun daripada Everest

Kontroversi mayat dibawa turun daripada Everest

KATHMANDU –Para penyelamat berjaya membawa turun dua mayat pendaki India daripada Gunung Everest yang mana kedua-duanya telah meninggal dunia pada tahun lepas namun mayat mereka tidak boleh dikeluarkan akibat cuaca buruk.

Menurut AFP, sepasukan pendaki Nepal berjaya membawa turun mayat Goutam Ghosh dan Paesh Nath daripada balkoni iaitu satu kawasan tidak jauh dari puncak yang berada di ketinggian 8,848 meter.

“Kedua-dua mayat tersebut ketika ini sedang berada di kem dua yang mana ianya boleh diangkut dengan menggunakan pesawat.

“Kami sedang berusaha mendapatkan logistik untuk membawa mereka ke Kathmandu,” kata seorang pegawai koordinasi operasi India, Sayeed Ahmeed Baba kepada AFP.

Mayat Nath telah ditemui tahun lepas tetapi disebabkan cuaca buruk, para penyelamat terpaksa membatalkan percubaan untuk membawanya turun manakala mayat Gosh hanya ditemui tahun ini oleh pendaki lain.

“Mayat Gosh tertimbus di bawah salji dan ais maka pasukan penyelamat terpaksa memotong ais tersebut sebelum dapat mengeluarkan mayat beliau,” kata Baba.

Kedua-dua mayat ditemui pada ketinggian lebih 8,000 meter yang mana satu altitud yang dinamakan permulaan “zon kematian”.

Ia kawasan yang terkenal dengan laluan yang sukar serta kekurangan oksigen yang menambah risiko kepada penyakit disebabkan altitud tinggi.

Operasi membawa pulang mayat tersebut menjadi topik kontroversi dalam kalangan masyarakat pendaki.

Beberapa syarikat penyelamat enggan untuk membawa turun mayat dari altitud tinggi kerana ia membahayakan nyawa penyelamat.

“Kami tidak mahu memberi risiko kepada orang hidup semata-semata mahu menyelamatkan orang yang sudah mati.

“Apabila ada tugas untuk membawa turun mayat, terdapat satu paras ketinggian tertentu yang kami tidak mahu terlibat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Global Rescue, salah sebuah firma penyelamat terbesar di Himalaya, Dan Richards.-MalaysiaGazette