Home Utama Saya pernah tertipu dengan DAP, kata Ramesh

Saya pernah tertipu dengan DAP, kata Ramesh

Temubual Eksklusif bersama Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Siapa sangka di sebalik kelantangan seorang pemimpin NGO, Ramesh Rao mempertahankan Barisan Nasional dan menyerang pembangkang, beliau sebenarnya dahulunya pernah menjadi ahli PKR dan DAP.

Ramesh yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menyifatkan beliau serik dan tertipu dengan agenda kedua-dua parti anak-beranak itu kemudiannya meninggal parti itu.

“Saya meninggalkan PKR kerana parti ini nampak sangat parti keluarga, dia tak menampakkan perjuangannya untuk negara.

“Perjuangan PKR hanya untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadinya sebagai perdana menteri,” katanya kepada Malaysia Gazette dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, DAP menjadi pilihannya sebaik sahaja meninggalkan PKR kerana tertarik dengan isu-isu rasuah dan ia memberikan keyakinan kepadanya kerana parti dinasti Lim itu berjuang tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

“Dalam DAP pun ramai ahli dari kaum India. DAP nampak macam sokong kaum India, tapi saya tak pernah nampak pada masa itu mendiang Karpal Singh mengaku dirinya seorang India.

“Permulaannya ketika sertai DAP nampak memang bagus, DAP ketika konsisten, Malaysia for Malaysia. Namun DAP ini berubah 360 darjah selepas mereka menang PRU-12 pada tahun 2008,” dakwanya.

Katanya, oleh kerana banyak janji DAP yang tidak ditepati dan dilaksanakan khususnya kepada kaum India, beliau memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

“Mereka janji beri ruang yang baik kepada kaum India, tak nampak lagi, bila disoal, disaman sampai muflis, bila disoal, dipecat.

“Dalam DAP perkara ini berlaku, dipecat, disaman, silap haribulan muflis dan ada yang mati. Ada ahli DAP yang mati sakit jantung selepas diugut. Kita ada bukti,” jelasnya.

Ditanya tentang sokongan beliau itu demi jawatan dan kedudukan dalam kerajaan, Ramesh bagaimanapun menegaskan sokongannya itu semata-mata untuk menegakkan kebenaran dan membongkar tipu daya DAP.

“Kenapa saya sokong Datuk Seri Najib Razak? Ini bukan sebab saya nak jawatan atau berminat untuk menjadi calon. Ini tidak benar sama sekali.

“Saya lihat fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional, dulu saya tertipu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette