LONDON – British Airways (BA) masih mengalami gangguan dari Lapangan Terbang Heathrow London berikutan kegagalan sistem komputer global di syarikat penerbangan itu.
BA menerusi Twitter berkata, ia akan beropetasi mengikut jadual penuh di Gatwick pada hari Isnin dan mengendalikan penerbangan jarak jauh penuh dari Heathrow bersama-sama dengan sebahagian besar penerbangan jarak dekat.
Syarikat penerbangan itu telah kembali beroperasi untuk beberapa penerbangan dari dua lapangan terbang terbesar di Britain pada hari Ahad tetapi beratus-ratus penumpang masih menunggu berjam-jam di Heathrow.
“Kita telah menggerakkan kakitangan tambahan di Heathrow bagi membantu penumpang di terminal serta memberi air dan makanan ringan percuma,” kata Lapangan Terbang Heathrow dalam satu kenyataan di Twitter.
Lapangan terbang itu berkata, sebelum ini kelewatan dan pembatalan penerbangan BA dijangka pada hari Ahad dan memberitahu penumpang tidak ada penerbangan di lapangan terbang itu melainkan jika mereka menempah semula penerbangan lain.
BA membatalkan semua penerbangannya dari Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Eropah dan Gatwick pada hari Sabtu selepas masalah bekalan jana kuasa, menganggu operasi penerbangan di seluruh dunia serta pusat panggilan dan laman web. – MalaysiaGazette