KUALA LUMPUR- Menempatkan pembuli dalam kalangan pelajar-pelajar ke sekolah pemulihan akhlak tidak akan menyelesaikan masalah tersebut.
Sebaliknya, masalah itu perlu ditangani oleh keluarga para pelajar yang terlibat dengan gejala membuli sama ada di sekolah, di asrama mahu pun di luar.
Ini kerana, sikap membuli atau ragging oleh golongan remaja selalunya didorong oleh faktor kurang mendapat perhatian dari keluarga.
Penolong pengetua sebuah Sekolah Tunas Bakti (STB) berkata, mereka yang kaki buli ini sebenarnya kurang kasih sayang, tidak pernah atau jarang dimanjai dan tidak dipedulikan.
Lantaran itu, jiwa mereka memberontak dan dilepaskan dengan tindakan-tindakan agresif termasuk buli sama ada secara fizikal atau vokal.
“Tetapi kebanyakan kes memang membabitkan fizikal yang menggambarkan sikap memberontak remaja berkenaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau yang enggan mendedahkan namanya itu berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan netizen berhubung kes buang sekolah melibatkan 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Parit kerana membuli.
Yang terbaharu 17 orang pelajar MRSM Alor Gajah disiasat kerana bertindak membelasah seorang pelajar Tingkatan 2.
Menurut beliau, penghantaran pelajar-pelajar ini ke sekolah pemulihan akhlak hanya boleh mengawal emosi dan tindak-tanduk mereka agar tidak jauh tersasar.
Namun, jika keluarga bersedia membantu anak-anak mereka yang terlibat dalam gejala buli, masalah ini boleh ditangani.
“Sentiasa bersama anak-anak. Anak-anak remaja mempunyai pelbagai sikap, di rumah lain, di sekolah lain dan sikap bersama rakan-rakan lain. Inilah yang perlu dipantau oleh ibu bapa.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, di STB gejala pelajar senior buli junior tetap berlaku cuma masih terkawal kerana tenaga pengajar sentiasa memantau dan mengawasi pergerakan mereka yang telah dikenal pasti sebagai ‘ketua dan kuncu-kuncu’.
“Mereka paling suka buli pelajar yang dianggap ‘lembik’, walaupun yang ‘lembik’ itu dulu adalah pembuli atau pelajar atau seorang anak yang bermasalah,” katanya. – MalaysiaGazette