Home Nasional Harga ikan dijangka turun semula Julai

Harga ikan dijangka turun semula Julai

KUALA LUMPUR – Lonjakan harga ikan sejak awal Ramadan kali ini disebabkan kekurangan bekalan dalam pasaran.

Pada masa sama pula, permintaan bagi semua jenis ikan pula meningkat berganda-ganda.

Pengerusi Persatuan Nelayan Tanjung Dawai, Abdullah Saad berkata, kekurangan bekalan ikan di pasaran disebabkan laut bergelora yang menjejaskan nelayan ke laut.

“Dalam seminggu tidak banyak nelayan laut dalam yang dapat ke laut sebab laut gelora. Apabila ini berlaku memang akan jadi masalah dalam harga kerana bekalan terhad,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai lonjakan harga ikan antara 30 peratus hingga 50 peratus sejak awal Ramadan. Kenaikan itu melibatkan semua jenis ikan.

“Jangan kata ikan tenggiri atau ikan merah yang naik, ikan pelaling pun mahal sekarang,” katanya.

Menurut Abdullah, meskipun jumlah nelayan pantai banyak tetapi hasil tangkapan sekadar memenuhi permintaan kawasan setempat.

Rata-rata nelayan pantai hanya boleh menangkap antara 10 hingga 30 kilogram sahaja, katanya.

“Sedangkan bilangan peraih yang datang mendapatkan ikan sekarang ramai. Faktor itulah yang mendorong nelayan jual mahal dan peraih pula terpaksa meningkatkan sekali ganda kepada pembeli,” tambah beliau.

Katanya, fenomena laut bergelora memang biasa pada bulan April hingga Jun.

“Jadi, kalau ada pihak yang kata kenaikan ikan disebabkan bulan puasa adalah tidak benar sama sekali,” jelas Abdullah.

Beliau berkata, kenaikan itu tidak lama kerana menjelang bulan Julai nanti iklim selalunya dalam keadaan baik dan jumlah ikan di laut pun banyak. – MalaysiaGazette