Home Nasional Rasuah penjawat awam menurun – KP SPRM

Rasuah penjawat awam menurun – KP SPRM

Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Indeks rasuah membabitkan kakitangan awam menunjukkan penurunan, kata Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata, penurunan itu adalah kesan daripada Ikrar Bebas Rasuah yang diperkenalkan SPRM di semua jabatan dan agensi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, usaha akan diteruskan oleh SPRM dengan menyasarkan semua jabatan, agensi, kementerian dan parti politik.

“Saya berpuas hati dengan penurunan kadar rasuah dan ini menunjukkan ada kesedaran dalam kalangan mereka.

“Ikrar ini sebenarnya memberi kesan baik dalam diri penjawat awam. Mereka akan memikirkan apa yang mereka lafaz ketika berdepan dengan dugaan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Ikrar Bebas Rasuah kepimpinan Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengetuai Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai kanan TH menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.

Menurut Dzulkifli, beliau menyambut baik usaha TH dengan mengarahkan semua kakitangan pelbagai jawatan menandatangani ikrar itu.

Mengenai SPRM masuk ke jabatan dan agensi, kata beliau, program itu dilakukan sendiri oleh pihak berkenaan atas kesedaran masing-masing berhubung bahaya jenayah rasuah. – MalaysiaGazette