KUALA LUMPUR- Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan telah membuka dua kertas siasatan terhadap akhbar berbahasa Inggeris, The Star berikutan tajuk dan gambar kontroversi pada muka depan akhbar itu baru-baru ini.
Muka depan akhbar itu disifatkan tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini, katanya dan siasatan tersebut akan dijalankan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
“Polis juga akan memanggil mereka yang bertanggungjawab dan terlibat dalam menerbitkan muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lalu bagi mengetahui sebab dan niat gambar serta tajuk tersebut,” katanya kepada media di Bangunan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) hari ini.
Hadir sama, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan surat tunjuk sebab kepada akhbar berkenaan berhubung penyiaran muka hadapan akhbar itu pada Sabtu lepas yang bertajuk Malaysian Terrorist Leader disertai gambar umat Islam sedang solat tarawih.
Tempoh tujuh hari diberikan kepada akhbar itu untuk menjawab surat tersebut mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 termasuk digantung permit penerbitan.
Perkara itu disahkan Ketua setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim. -MalaysiaGazette.