KOTA BHARU – Polis Kelantan menumpaskan empat penjenayah warga asing dengan dua daripadanya ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Salor Baru di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, dalam kejadian pukul 10 malam tadi, kereta yang dinaiki suspek dikatakan terserempak dengan polis di Wakaf Che Yeh di sini, sebelum mereka bertindak memecut kenderaan melarikan diri.
Bagaimanapun, polis mengejar kereta suspek kira-kira lima kilometer dari Wakaf Che Yeh sehingga ke Jalan Salor Baru sebelum kenderaan penjenayah memasuki satu lorong dan berlaku kejadian berbalas tembakan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Suspek kemudian memecut ke arah Jalan Salor sebelum memasuki lorong di mana kejadian tembak menembak itu berlaku, katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, rekod polis menunjukkan empat penjenayah itu terlibat dalam satu kes rompakan bank, mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan dalam senarai dikehendaki polis.
“Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat manakala dua lagi suspek telah ditahan,” katanya. – MalaysiaGazette