KUALA LUMPUR – Penyanyi Ayda Jebat menganggap peluang menyanyikan lagu sempena penganjuran Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur sebagai platform terbaik untuk karier nyanyiannya pada masa akan datang.
Ayda, 25, akan menyanyi lagu berjudul Gemuruh Suara dan beliau baru selesai menjalani rakaman lagu tersebut.
Jelasnya, lagu tersebut bukan lagu rasmi temasya sukan penuh gilang gemilang itu tetapi akan diperdengarkan sepanjang sukan itu berlangsung.
“Dayang Nurfaizah yang akan menyanyikan lagu rasmi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur manakala lagu saya adalah khas buat penyokong menzahirkan sokongan mereka kepada atlet yang bertanding.
“Lagu itu merupakan sebuah lagu rancak bagi menaikkan semangat juang dalam kalangan atlet dan juga penyokong,” katanya.
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Ayda mengambil keputusan untuk membataskan aktiviti seninya selain menghabiskan baki adegan siri Ku Kirim Cinta yang sedang disiarkan di slot Akasia TV3.
Cuma katanya, sebagai duta portal Tonton, dia perlu mengikuti beberapa program yang telah disusun oleh pihak pengurusan termasuk menghadiri majlis berbuka puasa. – MalaysiaGazette