CALIFORNIA – Buat pertama kali Amerika Syarikat berjaya membuat ujian sistem pertahanan terhadap peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), kata pegawai.
Sistem pemintas darat itu dilancarkan di pangkalan udara California dan menembak jatuh peluru berpandu balistik olok-olok, kata Agensi Pertahanan Peluru Berpandu (MDA).
Pentagon berkata, ujian itu telah lama dirancang tetapi dilaksanakan di tengah-tengah ketegangan yang meningkat dengan Korea Utara.
Ujian itu dilakukan selepas Pyongyang melancarkan peluru berpandu kesembilan tahun ini.
Naib Pengarah MDA, Adm Jim Syring menyifaykan ujian itu sebagai “pencapaian kritikal”.
“Sistem ini amat penting untuk mempertahankan tanah air kita dan ujian ini menunjukkan yang kita ada kemampuan, pemintas boleh dipercayai terhadap ancaman yang sebenar,” katanya.
Ia adalah ujian peluru hidup yang pertama terhadap simulasi ICBM untuk Pertahanan Peluru Berpandu Darat (GMD).
Pemintas yang dilancarkan dari Tentera Udara Vandenberg itu bertembung dengan sebuah peluru berpandu simulasi dilancarkan dari Kwajalein Atoll di Kepulauan Marshall di Lautan Pasifik, kata agensi itu dalam satu kenyataan akhbar.
Pengumuman itu dibuat selepas ujian peluru berpandu ketiga oleh Korea Utara dalam tiga minggu.
Scud dibedil kira-kira 450 kilometer (280 batu) sebelum mendarat di perairan Jepun, memaksa Jepun untuk membuat bantahan. – MalaysiaGazette