Home Seni Hidup Ezlynn fail cerai, suami tak setuju

Ezlynn fail cerai, suami tak setuju

Ezlynn dan suami, Adam Fahmy pada majlis pernikahan mereka.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Ezlynn telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Januari lalu.

Permohonan cerai difailkan Ezlynn yang terkenal menerusi lagu berjudul Hi Hi Bye Bye mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamed Nor dalam sebutan kes itu semalam memerintahkan penyanyi itu bersama suaminya, Adam Fahmy Shamsuddin  menghadiri sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) berikutan suaminya tidak bersetuju untuk meneruskan perceraian secara baik itu.

Ezlynn selaku plaintif melantik kakak kandungnya, manakala Adam Fahmy, 38, selaku defendan melantik adik kandungnya, masing-masing sebagai wakil JKP.

Ezlynn nama sebenarnya, Azline Ariffin, 36, hadir bersama peguam syarie, Izyan Hazwani Ahmad manakala suaminya tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes bagi mendengar laporan JKP.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011. – MalaysiaGazette