Home Politik Tun M, Syed Mokhtar kena jawab dakwaan Tunku Aziz

Tun M, Syed Mokhtar kena jawab dakwaan Tunku Aziz

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary diminta tampil menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung siapa pemilik sebenar Proton Holdings Berhad (Proton).

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, penjelasan pemilikan Proton perlu dijawab oleh kedua-duanya.

“Saya merasakan Tun Mahathir dan Tan Sri Syed Mokhtar yang merupakan pemilik Proton melalui Kumpulan DRB-Hicom perlu jawab persoalan oleh Tunku Aziz, apakah Tun Mahathir pemilik sebenar Proton dan sama ada Tan Sri Syed Mokhtar hanyalah seorang proksi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tunku Aziz telah mempersoalkan pemilikan Proton apabila Mahathir dilihat terlalu lantang menentang kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely).

Dalam perjanjian baru-baru ini, DRB-Hicom bersetuju menjual kepentingan Proton sebanyak 49.9 peratus kepada Geely dalam usaha menyelamatkan syarikat kereta nasional itu.

Dengan termeterai perjanjian itu, Geely juga menguasai sebanyak 51 peratus kepentingan dalam Lotus dan sebanyak 49 peratus lagi oleh Etika Automobile milik Syed Mokhtar.

Rosni berkata, tindakan Mahatir yang lantang mengkritik urus niaga itu menimbulkan tanda tanya dan menjadi perhatian rakyat.

“Jika Tan Sri Syed Mokhtar pemilik Proton beliau sudah semestinya sokong dan mempertahankan kerjasama antara Proton dan Geely,” katanya.- MalaysiaGazette